Demokrasi Bukan Sekadar Pilihan Raya
- Imran Rasid
- Dec 8, 2025
- 5 min read

(Artikel ini terbit pada 28 Oktober 2022 di Pondok Syiasah)
Sewaktu berucap dalam majlis sambutan hari jadi beliau yang ke-80, John Dewey mengingatkan hadirin tentang sisi penting demokrasi yang sering dilupakan. “Kita sering memikirkan demokrasi sebagai satu mekanisme politik yang berfungsi selagi rakyat menjalankan tanggungjawab politik mereka dengan baik.” Namun, menurut beliau lagi, ianya tidak memadai kerana masyarakat harus “sedar dalam fikiran dan tindakan mereka bahawasanya demokrasi adalah suatu gaya hidup setiap individu; ianya melambangkan penguasaan dan penggunaan berterusan sesuatu sikap, sekaligus membentuk peribadi dan menentukan kehendak dan hala tuju seseorang dalam setiap urusan kehidupannya.”[1]
Saya terbaca petikan ini sewaktu meneliti esei Creative Democracy—The Task before Us (1939). Kebetulan, bersempena dengan musim PRU15 yang kunjung tiba, saya mengulang baca beberapa karya John Dewey tentang demokrasi. Sekiranya hendak dibandingkan dengan tokoh-tokoh seperti John Rawls, Robert Nozick, Michael Walzer, dan teoris politik seangkatan dengannya, nama “John Dewey” barangkali jarang dikaitkan idea demokrasi dalam wacana arus perdana. Bahkan, di Malaysia, hampir tidak pernah saya mendengar namanya dipetik dan dirujuk dalam konteks politik.
John Dewey (1859 – 1952) merupakan pemikir falsafah pragmatisme kelahiran Amerika Syarat yang cukup prolifik. Beliau lebih dikenali sebagai tokoh pemikir epistemologi, metafizik, dan pendidikan berbanding teori politik. Karya-karyanya mencakupi pelbagai isu; antara yang sering dirujuk ialah Democracy and Education (1916), Human Nature and Conduct (1922), Liberalism and Social Action (1935), dan Theory of Valuation (1939). Sebagai pengasas aliran falsafah Pragmatisme di US, bersama Charles Sanders Peirce dan William James, beliau turut mengupas banyak isu-isu semasa dan memperjuangkan prinsip kebebasan dan berdemokrasi.
Saya sendiri mengenali buah pemikiran John Dewey sejak dalam pengajian A-Level. Pun begitu, penulisannya tentang demokrasilah yang paling mengesankan, dan saya sarankan pembaca budiman sekalian untuk cuba mencarinya di laman internet. Penulisan Dewey sesuai dibaca untuk memikir-ulang makna demokrasi sebelum masyarakat bersiap-siaga untuk PRU15 yang bakal menjelang.
Secara umumnya, pilihanraya dianggap sebagai jantung bagi sesebuah sistem demokrasi. Meskipun demikian, tidaklah demokrasi itu disempitkan hanya pada pilihanraya semata-mata. Tiada yang menafikan kepentingan proses dan keputusan pilihanraya dalam mentadbir urus masyarakat. Namun, seperti yang diingatkan oleh John Dewey, maksud dan cakupan demokrasi itu lebih luas dan menyeluruh, lebih tuntas dan radikal[2].
John Dewey menulis perihal demokrasi sewaktu dunia sedang bergelut di antara dua model pemerintahan yang sengit bersaing antara satu sama lain. Pada Kesatuan Soviet, wujud model democratic centralism yang mencabar hegemoni kapitalisme, namun terjerat dengan elemen kediktatoran; di Amerika Syarikat pula, wujud sistem kebebasan yang mengangkat agensi individu namun pengamalannya terhad dan tempang akibat berkiblatkan budaya konsumerisme dan individualisme yang menebal.
Di tengah-tengah kemelut politik ini, Dewey menggagaskan sebuah visi demokrasi yang lebih luas. “Demokrasi” menurut Dewey, “bersifat sosial .. ianya suatu konsepsi etika, dan pada konsepsi inilah terbangunnya sistem pemerintahan.”[3] Visi demokrasi yang dibayangi Dewey tidak terhenti atau bermula dari ruang retorik dan institusi demokratik formal; sebaliknya kedalaman inti pati demokrasi menembusi ranah sosial dan budaya. Rukun demokrasi terletak pada bagaimana warga masyarakat memberi makna dan menguruskan kehidupan kolektif mereka. Ataupun, dalam ungkapan Dewey yang lain, demokrasi adalah “suatu gaya hidup, di peringkat individu dan juga sosial.” Dari sini, barulah persoalan sarana dan bentuk institusi demokrasi (pilihan raya, perwakilan rakyat, etc) dibentuk.
Catatan-catatan John Dewey tentang demokrasi memaksa saya merenung situasi demokrasi sedunia, terutamanya di negara-negara membangun yang disebut-sebut sebagai model demokrasi ikutan. Misalnya, menurut Indeks Demokrasi 2021, Amerika Syarikat tersenarai dalam tangga ke-26 dari 167 negara (Malaysia di tangga ke-39). Namun, seperti yang tersiar di laman berita arus perdana, politik di US penuh dengan kacau bilau. Jenayah Benci (Hate Crime) dilaporkan meningkat sebanyak 30 peratus pada tahun 2021. Pew Research Center turut melaporkan peratusan perpecahan dalam masyarakat US sejak lepas semakin membimbangkan.
Meskipun dari sudut undang-undang rakyat US menikmati kebebasan yang meluas untuk berpartisipasi dalam amalan demokrasi, kemelut ekonomi dan politik serta semangat individualisme (dan konsumerisme) yang kian menebal menjadi penghalang buat tindakan kolektif yang benar-benar bermakna. Pelantikan Trump sebagai Presiden, misalnya, adalah manifestasi krisis masyarakat bersistemkan demokrasi yang hilang “roh” demokrasi mereka.
Oleh sebab yang demikianlah John Dewey selalu menegaskan bahawasanya demokrasi lebih luas daripada kerangka institusi. Ruh bagi demokrasi, menurut Dewey, adalah partisipasi kemasyarakatan. Justeru, frasa demokrasi sebagai gaya hidup merujuk kepada “penglibatan setiap manusia matang dalam memaknai proses pengurusan kehidupan mereka bersama — dan ianya penting bagi memastikan jaminan kebajikan bersama dan perkembangan manusia sebagai individu.” Melalui lensa ini, pemahaman demokrasi yang Dewey anuti mengarah kepada semangat kooperatif dalam masyarakat bagi mendepani sebarang masalah yang wujud, tanpa kebergantungan pada sebarang bentuk institusi ataupun pendekatan secara mutlak.
Mengapa visi dan imaginasi demokrasi ala Dewey ini saya bawakan dalam penulisan kali ini? Hal ini kerana adakalanya sewaktu musim pilihanraya, tatkala warga politik sibuk berkempen dan berpencak di pentas nasional dan setempat, ramai kalangan kita lupa akan naratif besar yang sepatutnya menjadi ethos dalam gerak politik masyarakat.
Ramai penganalisis politik menjangkakan jumlah turun undi yang merosot buat PRU15 kali ini. Namun, hal ini tidaklah bermaksud semangat demokrasi semakin luntur dalam masyarakat. Cakupan demokrasi lebih meluas. Demokrasi ialah gerakan massa menjaga massa, termasuklah mempertanggungjawabkan pemimpin secara kolektif. Saya sendiri cukup tersentuh membaca pelbagai momen demokratik yang tersiar sepanjang tempoh pandemik. Slogan “Kita Jaga Kita” membangkitkan inspirasi yang luar biasa. Tidaklah bermaksud kegagalan kerajaan melindungi kebajikan massa terus dilupakan. Pemerintah seharusnya berganding tangan dan membantu menggerakkan masyarakat dengan sumber yang mereka miliki untuk membantu golongan yang terkesan dalam krisis ini.
Saya sering memetik kisah dari Cuba dan Kerala sebagai contoh bagaimana tindakan awam (public action) boleh bergerak seiring, bahkan memberi telunjuk, kepada pihak pemerintah. Pada 17 Mac 2020, sewaktu masalah wabak Covid-19 mula berleluasa di Cuba, seramai 28,000 pelajar perubatan dari tiga belas universiti telah menyertai kempen untuk mengunjungi setiap rumah dan memeriksa kesihatan setiap penduduk setempat. Melalui pendekatan ini, sejumlah 6 juta rakyat Cuba berjaya diperiksa dalam masa seminggu, dan pengesanan awal (early detection) sejumlah 40,000 berjaya dijejaki pada bulan pertama pandemik.
Di wilayah Kerala, India pihak pemerintah memutuskan untuk menghasilkan pelitup muka dan pencuci tangan sendiri dan tidak bergantung kepada kuasa pasaran untuk memenuhi permintaan yang kian meningkat dalam masyarakat. Kolektif kejiranan, Kudumbashree, yang dianggotai 4.5 juta wanita terlibat secara suka rela untuk menghasilkan dan membekalkan pelitup muka secara percuma. Kos operasi mereka sepenuhnya dibiayai pemerintah. Kumpulan aktivis Democratic Youth Federation of India (DYFI) dan gerakan sains massa, Kerala Sastra Sahitya Parishad (Forum Literasi Sains Sastera) juga terbabit membantu menghasilkan pencuci tangan untuk memenuhi keperluan masyarakat[4].
Momen-momen seperti inilah sewajarnya menjadi inspirasi bagi gerakan demokrasi di setiap penjuru dunia. Gerak kerja bagi menyemai benih-benih demokrasi dalam kehidupan seharian kita tidak bermula dan berakhir di peti undi. Sebaliknya, ia bermula dengan tindakan kolektif sesama kita dan kejiranan kita. Siapa pun yang menang PRU15 nanti, baik BN, PH, GTA, atau parti mana sekalipun, kalah-menang demokrasi dalam masyarakat bukan terletak pada tangan mereka. Ianya terletak pada tanggungjawab kita bersama.
[1] Dewey, “Creative Democracy—The Task before Us,” dalam Larry A. Hickman/Thomas M. Alexander (eds.): The Essential Dewey. Bloomington: Indiana University Press, 340–343
[2] John Dewey, “Democracy Is Radical” dalam The Later Works, 1925–1953, Jilid 11, ed. by JoAnn Boydston, Carbondale: Southern Illinois University Press, 1981-1990
[3] John Dewey, “The Ethics of Democracy,” dalam Early Works, jilid 1, ed. by Jo Ann Boydston, Carbondale: Southern Illinois University Press, 1969-1975. Ms. 227–249.
[4] Rujuk laporan kajian dari Tricontinental Institute, CoronaShock and Socialism (Julai 2020), pautan: https://thetricontinental.org/studies-3-coronashock-and-socialism/


Comments