5 Tugas Intelektual Untuk PRU-15
- Imran Rasid
- Dec 8, 2025
- 5 min read

(Artikel ini asalnya diterbitkan pada 16 Oktober 2022 di Laman Web Pondok Siyasah)
Bukan sinarnya nilai permata
Sifat asalnya yang tahan gugur
Betapa besar rintangan cita
Tiada sesalnya juang yang jujur.
– Syed Hussein Alatas –
Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) tiba sewaktu Malaysia berdepan dengan satu persimpangan yang aneh. Landskap politik dan ekonomi hari ini penuh dengan kebuntuan dan ketidaktentuan. Garis pemisah antara lawan dan kawan dalam kalangan parti politik sedang diperbaharui. Sektor ekonomi juga, terutamanya pasca COVID-19, semakin tenat dan kesannya dirasai oleh segenap masyarakat. Bahkan, baru-baru ini kita diberi pula amaran tentang ancaman banjir musim tengkujuh yang akan berlangsung untuk beberapa bulan seterusnya.
Malaysia memang benar-benar dalam persimpangan yang getir: sama ada mengundur ke belakang dari sebarang pembaharuan yang berlaku sejak beberapa tahun lalu, atau, terus bertatih untuk maju ke hadapan meskipun berdepan dengan pelbagai halangan. Situasi krisis ini mengingatkan saya kepada pesan almarhum Syed Hussein Alatas. Dalam sebuah ceramah beliau di Singapura, bangun seorang guru bertanyakan soalan: ‘‘Profesor Hussein kata masyarakat kita sedang tidur. Jadi siapa nak menggerakkan kita?’
Beliau kemudian menjawab: ‘Jawapannya mudah saja—siapa yang bangun dahulu…Dalam keadaan semua tidur, tidak ada pemimpin. Siapa saja yang sedar dahulu’[1].
Situasi getir inilah membuatkan usaha untuk “mengejut” massa dari tidur menjadi lebih penting. Dan tanggungjawab ini digalas oleh pelbagai pihak, termasuklah kaum intelektual di negara ini. Syed Hussein Alatas, melalui adikaryanya Intellectuals in Developing Societies, pernah menyebutkan: “a society without a functioning group of intellectuals is deprived of a certain level of consciousness and insights into vital problems.” Selaras dengan semangat PRU-15 yang bakal kunjung tiba tidak lama lagi, berikut saya catatkan beberapa tugas intelektual untuk renungan bersama:
Turun padang untuk mendengar denyut nadi rakyat kebanyakan
Intelektual berfungsi dicirikan oleh Alatas seperti berikut:(a) kemampuan untuk bersikap terhadap masalah-masalah masyarakatnya;(b) mendefinisikan masalah-masalah yang dihadapinya;(c) menganalisis masalah-masalah; dan(d) menemukan solusi terhadap masalah-masalah tersebut.
Tanggungjawab analisis masalah tidak akan terlangsai sekiranya kaum intelektual sendiri tidak memahami realiti yang dihadapi rakyat kebanyakan. Pemahaman ini hanya terbina sekiranya kelas intelektual sanggup turun padang bagi mendengar keluhan, serta sudut pandang mereka terhadap masalah yang dihadapi.
Intelektual yang tidak melibatkan diri dalam pergulatan harian massa, menurut Alatas, serupa seperti dieticiansyang sibuk berbicara secara abstrak soal protein dan vitamin namun langsung tidak menyentuh langsung makanan ruji yang dihadam orang kebanyakan. Hanya dengan penglibatan aktif sahajalah kelas intelektual dapat membina diagnosis yang tepat akan masalah yang menyelubungi sesuatu kelompok.
Dalam mendekati musim PRU-15 nanti, tentunya gerombolan politikus akan berbondong-bondong masuk kampung untuk menagih sokongan pengundi. Justeru, pendekatan intelektual harus dibezakan dengan sang politikus. Kelas intelektual harus mendekati massa bukan dari posisi yang angkuh, i.e mereka lebih tahu daripada orang kebanyakan (sepertinya kebanyakan ahli politik).
Sebaliknya, pendekatan dialogik harus diutamakan. Sepertimana yang disebut Freire, “Dialogue, as the encounter of those addressed to the common task of learning and acting, is broken if the parties (or one of them) lack humility”[2]. Rakyat kebanyakan, terutamanya kelas yang tertindas, bukan sekadar “objek” atau sumber data untuk intelektual, sebaliknya, masalah dan diagnosis terbina melalui penyertaan aktif dan bersama antara intelektual dan kelas pekerja.
Membantu mengangkat suara kelompok tertindas
Kelas intelektual umumnya mempunyai platform tertentu untuk digunakan bagi mengetengahkan suara kelompok yang tertindas. Ada beza antara “mengetengahkan” dan “mewakili”. Sepertinya tindak-tanduk orang politik yang berbicara mewakili masyarakat terpinggir, sekaligus membungkam agensi dan suara mereka serta mewujudkan kebergantungan terhadap kelas politik. Penulis tersohor India, Arundhati Roy, pernah menyebut: “There’s really no such thing as the ‘voiceless’. There are only the deliberately silenced, or the preferably unheard.” Lenggok orang politik yang selalu bercakap mewakili adakalanya menjadi penyebab utama suara orang pinggiran terus dipinggirkan.
Kelas intelektual berfungsi harus bersuara BERSAMA kelompok tertindas, sekaligus memberdayakan suara mereka dan mengangkat aspirasi dan kemandirian mereka di pentas-pentas nasional. Bawakan wakil-wakil masyarakat untuk berdialog di pentas-pentas nasional. Ketengahkan suara mereka dalam wacana-wacana perdana. Kaum intelektual mempunyai akses tertentu kepada pelbagai wahana maka mereka harus layak berperanan sebagai jambatan bagi menghubungkan suara-suara pinggiran dalam perbincangan nasional terutamanya menjelang PRU-15 ini. Hal ini juga membantu untuk memecahkan monopoli parti politik dalam mendominasi wacana pilihanraya yang bakal menjelang.
Mengajak masyarakat untuk lebih aktif berperanserta dalam proses demokrasi
Kita tidak pasti sama ada kadar penyertaan para pengundi untuk PRU-15 kali akan merudum atau meningkat. Rata-rata sentimen umum, terutamanya apabila ancaman banjir semakin dekat, menunjukkan bahawa rakyat kebanyakan tidak berminat untuk keluar mengundi. Antara indikator yang sering dirujuk ialah PRN Johor dan Melaka yang hanya menunjukkan peratusan keluar mengundi yang rendah (Johor: 54.92% keluar mengundi, Melaka: 65.85% keluar mengundi).
Kaum intelektual harus memainkan peranan yang aktif bagi mengajak masyarakat terus berpartisipasi dalam proses demokrasi. Kesugulan politik, kemudian diterjemah menjadi perilaku pacifist, tidak akan menguntungkan sesiapa. Bahkan, ianya lebih digemari kelas penguasa yang senang-senang membolot kekuasaan tanpa sebarang tentangan dari massa. Kaum intelektual, sebagai penyuluh massa dalam zaman edan ini, harus terus berusaha menyuntik semangat masyarakat dan mengingatkan mereka bahawa kuasa sebenar terletak dalam genggaman tangan mereka sendiri.
Harus diingat juga, bahawasanya partisipasi demokrasi tidak terhad pada peti undi sahaja. Ruang lingkup demokrasi itu sangat luas dan mencapah. Maqasid demokrasi adalah untuk memberdayakan massa dan mengangkat semangat egalitarian dan kesamaan dalam menguruskan masyarakat. Hasrat ini termanifestasi melalui bangkangan secara kolektif (protes jalanan, memorandum, ketidakakuran sivil, etc) dan proses dialog yang terbuka dan berterusan. Kaum intelektual, sebagai golongan cerdik-pandai masyarakat, harus menjadi pendahulu bagi wacana dialog dan perlawanan ini!
Melawan propaganda parti politik yang meniupkan sentimen agama dan kaum
Kontroversi sekitar filem Mat Kilau baru-baru ini menunjukkan arus perkauman semakin deras mengalir dalam masyarakat. Sentimen ini tentunya akan terus bergema lebih kuat menjelang PRU-15 nanti. Adalah menjadi tanggung jawab kaum intelektual untuk mengarahkan renungan intelektual mereka bagi melawan propaganda-propaganda ini. Konsep-konsep canggih atau fakta-fakta yang dibaca di jurnal-jurnal akademik dan kitab-kitab falsafah tidak berguna sekiranya cakupannya terhad dan tidak tertumpah kepada sebahagian besar masyarakat. Kegagalan kaum intelektual untuk membumikan idea dan wacana mereka menjadi penyebab kepada propaganda perkauman dan ekstremisme agama terus berleluasa.
Sentimen agama dan kaum paling kuat dimainkan dalam musim pilihanraya. PRU-15 juga dijangka tidak akan berkecuali. Masalah-masalah sosial seperti kenaikan harga barang, pengangguran, dan kehakisan identiti akibat arus globalisasi (baca: neo-liberalisasi), misalnya, akan dicanang dalam bahasan agama dan perkauman. Lensa kaum dan agama akan terus dipaksakan terhadap masyarakat. Kaum intelektual harus terkehadapan dalam mengemukakan pandangan alternatif untuk meyakinkan massa agar tidak terpedaya dengan naratif sempit yang dihidangkan oleh sang penguasa yang tamak berkuasa.
Menggesa parti politik memasukkan dasar-dasar penting untuk rakyat
Akhir sekali, peranan intelektual sebagai suara moral dan pemikir masyarakat menyebabkan mereka menggalas tanggungjawab yang lebih besar untuk mempengaruhi wacana politik setempat. PRU-15 bakal membuka gelanggang baru buat parti-parti politik untuk berpencak dengan manifesto masing-masing. Di sinilah idea-idea baru (dan lama) dijenamakan dan ditawarkan bagi mengumpan undi rakyat. Kaum intelektual harus mendesak ahli politik dan mempopularkan idea-idea dan dasar-dasar yang menguntungkan rakyat kebanyakan. Idea dan dasar ini lahir hasil timbang-tara yang cermat oleh kaum intelektual akan masalah yang dihadapi masyarakat mereka, dan bukan berdasarkan sentimen populisme semata-mata.
Masalah yang kita hadapi saban PRU ialah setiap gagasan yang ditawarkan oleh parti politik cenderung bersifat populis, dengan pengiraan jangka-pendek (shortemism). Akibatnya, masyarakat terjerat dengan masalah struktural yang memerlukan solusi dan usaha jangka panjang untuk diselesaikan. Intelektual harus mendesak cara fikir politik yang lebih meluas, yang tidak mengabaikan big picture. Intelektual juga harus memecah monopoli kelompok Jadong (Jahat, Bodong, Sombong) dan pemikir kangkung dalam wacana dasar dan pembangunan negara. Kelompok ini tidak serius dalam memikirkan masalah sebenar yang dihadapi masyarakat, sebaliknya hanya mengusik dan menjentik perasaan takut dan gelisah sebahagian orang untuk memenuhi cita rasa politik dan periuk nasi mereka.
Tentunya, tugasan-tugasan yang disenaraikan ini tidak terhenti hanya pada PRU-15. Ianya akan terus berjalan selagi masyarakat masih wujud dan berfungsi. Kita tidak pasti apa keputusan pilihanraya yang akan datang, atau ke mana hala tuju negara selepas ini. Apa yang pasti ialah masa depan sesebuah negara, masa depan kita sebagai masyarakat, hanya akan menjadi milik kita apabila kita sebagai kolektif memainkan peranan secara bersama untuk mengubahnya.
[1] Syed Hussien Alatas, ‘Kita Runtuh Akhlak dan Kurang Berfikir,’ Dewan Budaya, Jun 1988, hal. 17
[2] Freire, P. (2000), Pedagogy of the oppressed, (New York, The Continuum). Pg 89


Comments